Wednesday 14 January 2015

Tarbiyah Seekor Burung

           Selepas solat asar berjemaah, dan membaca zikir-zikir mathurat di waktu petang bersama dua orang ahli rumahku yang lain, aku melangkahkan kaki ku setapak demi setapak naik menuju ke bilik. Hajatku pada mulanya ingin menyambung kerja ku yang masih belum selesai, namun badanku berasa sangat letih mungkin kerana seharian aku menghadap laptop dan buku-buku, demi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Kemudian aku menoleh kepalaku ke kiri, mataku memandang tepat pada luar jendela yang sengaja dibukakan sedikit oleh sahabatku pagi tadi kerana mahukan udara segar dari luar memasuki ke dalam ruangan bilik kami. Di situ kulihat ada seekor burung yang sedang bertenggek di atas bumbung di luar, kemudian tiba-tiba ia terbang ke arah langit tinggi. Ya barangkali ia terkejut akan bunyi kuat yang datang dari rumah sebelah. Kemudian aku mendengus, dalam hatiku terusik alangkah seronoknya jadi seekor burung, boleh terbang ke mana ia suka, boleh pergi jauh ke mana ia mahu, boleh bernyanyi sekuat mana yang ia suka, boleh bercampur gaul antara mereka semahu-mahunya, boleh minum, makan pada bila-bila masa yang ia inginkan, pendek kata semuanya BEBAS!!



Kemudian, hatiku bermonolog.

"Arghhh itu cuma fantasi sahaja, apa kamu ingat haiwan hidup tanpa diuji?Apa kamu tahu apa erti sebenarnya perkaatan bebas bagi haiwan seperti mereka? Apa kamu benar-benar tahu apa itu makna UJIAN?Sedarkah kamu setiap makhluk Allah itu diuji keimanan mereka?"

Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata murobbiku tentang kisah penciptaan manusia, disaat Malaikat dan Iblis diuji keimanan mereka, sama ada mahu taat pada perintah Allah atau pun tidak?Apabila Allah perintahkan semua Malaikat dan Iblis untuk sujud kepada Adam a.s, Malaikat dan Iblis seharusnya sujud kepada Adam a.s tetapi hanya Malaikat sahaja yang sujud dan bukan Iblis. Firman Allah SWT dalam surah albaqarah:29-35

[29] Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[30] Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
[31] Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
[32] Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
[33] Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.
[34] Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
[35] Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.
                                                                                                                                    (Albaqarah: 29-35)

Malaikat tidak bersetuju dengan idea untuk menciptakan makhluk lain untuk menjadi khalifah di bumi kerana malaikat takut bahawa ciptaan baru akan sama dengan Jin yang telah banyak membuat pertumpahan darah, peperangan dan kerosakan apabila mereka menghuni bumi. Allah menjawab kepada para malaikat bahawa Allah mengetahui segala yang malaikat tidak mengetahui. Para Malaikat mengaku kepada Allah bahawa mereka boleh mengetahui tentang benda-benda yang mana Allah telah ajarkan kepada mereka tetapi mereka tidak boleh mengetahui benda-benda yang Allah tidak ajarkan kepada mereka. Disebalik pertanyaan Malaikat seperti itu pada Allah mungkin disebabkan bisikan iblis yang tidak mahukan manusia menjadi khalifah Allah yang akhirnya menyebabkan keluarnya soalan seperti itu daripada Malaikat. Allahu'alam.
Apabila Allah bertanya kepada Iblis, mengapa dia tidak mahu sujud kepada Adam a.s maka Iblis memberikan alasan bahawa dia telah di jadikan daripada api sementara Adam a.s di jadikan daripada tanah. Alasan yang mana telah di berikan oleh Iblis terhadap Allah hanya sebagai helah yang diberikan oleh Iblis untuk tidak mahu mentaati perintah Allah. Dan, disebalik perintah Allah yang menyuruh semua malaikat dan iblis bersujud pada Nabi Adam bukannya pada Dia, mungkin disebabkan Allah mahu iblis bertaubat daripada memiliki sifat riak yang menganggap dialah yang sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi ini. Makanya, disebalik ujian-ujian yang Allah berikan pada makhluknya termasuklah Malaikat dan Iblis ini pasti ada sesuatu di balik perancanganNya yang sangat rapi dan tersusun. Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati ciptaan-Nya.
Berbalik pada kisah burung tadi, hakikatnya, burung juga di beri ujian oleh Penciptanya, yakni Pencipta manusia juga iaitu Allah. Terkadang mereka diuji anak-anak mati sebaik sahaja dilahirkan, terkadang diuji ibu ayah mati ditembak pemburu,terkadang diuji menjadi mangsa pada pemburu, ditangkap, ditembak, dikurung di dalam sangkar, ya sangkar yang dikunci rapi!!, kini sudah lagi tidak BEBAS. Kita tidak punya kuasa untuk memahami bahasa-bahasa haiwan seperti mana Allah izinkan Nabi Sulaiman memahami bahasa makhluk disekelilingnya. Jadi, kita tidak tahu, disebalik bunyi burung-burung itu adakah dia sedang menangis?Adakah dia sedang gembira?Adakah dia sedang lapar? yang kita tahu hanya "arghhh bising lah burung ni, nak tenang sikit pun tak boleh"

Inilah kemunngkinan ujian-ujian bagi mereka di mana mungkin kita tidak nampak sekiranya tidak dipandang dengan mata hati. Namun, semua makhluk tidak ada pilihan untuk jadi islam atau tidak kecuali dua makhluk ini, yakni manusia dan jin. Walaupun ujian diberikan pada burung-burung ini, mereka masih lagi taat dan sentiasa mengingati Allah. Teringat pula akan kisah burung ababil yang memusnahkan tentera bergajah yang ingin meruntuhkan kaabah. Allahu akbar! Astaghfirullahulazim. Moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan hambanya yang tidak bersyukur. 
Manusia itu sebaik-baik penciptaan makhluk bagi Allah. Hidup di dunia yang sementara ini semestinya diberi pilihan. Jalan mana yang kita mahu. Seperti mana kisah Malaikat dan Iblis tadi, Kedua-duanya di beri ujian saat penciptaan manusia hendak dilaksanakan. Namun, Malaikat memilih untuk mematuhi perintah Allah walaupun Malaikat pada mulanya menyoalkan tentang penciptaan manusia yang mungkin akan sama seperti kisah jin yang pernah menduduki bumi dahulu. Maka, Allah merahmati Malaikat hingga ke akhirat. Namun, sebaliknya, walaupun Allah sudah tahu akan keingkaran iblis pada waktu itu, Allah masih lagi membuka peluang pada iblis untuk bertaubat dengan hanya Allah perintahkan sujud pada Nabi Adam a.s. Tetapi, berlawanan dengan Malaikat, si iblis memilih jalan yang berbeza dengan Malaikat, iaitu tidak mahu sujud pada Nabi Adam a.s. Maka kesudahannya Allah melaknat ibilis hingga ke akhirat kelak. Inilah masing-masing jalan yang dipilih oleh Malaikat dan Iblis, yang akhirnya menentukan di mana pengakhir kesudahan hidup mereka sebagai makhluk Allah. Begitu juga kita manusia. 


Aku yakin hidup sebagai manusia sudah diberi peluang untuk membuat pilihan. Jalan yang mana yang akan membawa kita menuju destinasi kita yakni ke syurga. Kalau tersilap langkah pada awalnya, ternyata Allah masih membuka jalan untuk menembusi jalan kebenaran tadi. Cuma, dalam hidup perlu ada prinsip. Jadikan kisah-kisah sirah dahulu menjadi pedoman hidup berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Pengajaran daripada kisah burung dan kisah penciptaan manusia ini benar-benar membuka pintu hatiku untuk terus hidup dengan lebih berhati-hati supaya aku tidak tersasar dari jalan yang membawaku ke destinasi akhir hidupku nanti. Hidup tanpa prinsip akan membuatkan kita membuka peluang pada tentera-tentera iblis yakni tergolong dari kalangan jin mahupun manusia seperti firman Allah SWT dalam surah Annas.


"Uit uit, mengelamun jauh nampak ukhti nie, fikirkan apa tu?" Sergah iman, housemate ku. 
"Eh, tak da ape, tak fikirkan apa-apa pun, saja melihat kebesaran Allah, hehe" jawab aku selamba. Fuhh, nasib baik dia tak perasan aku dok feeling tadi. 
"Jom. kita sambung discussion kita tadi." sambung iman lagi.
"ok, Jom!jom!,.hehehe" balasku sambil tanganku bergerak pantas mengemas mejaku yang penuh dengan kertas-kertas rujukan. 

{Ok Assalamualaikum semua, jumpa lagi di entry yang seterusnya.}
p/s: sebarang sharing atau sebaliknya mohon untuk diberitahu dahulu. Demi mengelak daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Harap maklum. Mohon diperbetulkan sekiranya ada salah, dengan komen-komen yang membina. Terima kasih. =)